Kursus Usahawan
Wednesday, December 30, 2009 20:12
Salam Usahawan,
Akhirnya ada juga kelapangan untuk berkongsi mengenai kursus asas keusahawanan yang saya janjikan sebelum ini.Selama seminggu berkursus banyak perkara yang ditekankan dan para peserta ditunjukkan langkah demi langkah untuk menjadi seorang usahawan.
Perkara pertama yang didedahkan kepada kami ialah dari sudut motivasi khusus kepada bidang keusahawanan.Penceramah yang juga merupakan ahli psikologi memberikan gambaran personaliti yang harus dimiliki serta menyentuh mengenai Intellectual Quotient(IQ) dan Emotional Quotient@Emotional Intelligent. Kedua-duanya saling mempunyai kaitan terutama EQ dimana sekiranya IQ seseorang itu rendah,EQ seseorang boleh membantu untuk meningkatkan IQ.Ini dibuktikan lagi dengan kejayaan ramai usahawan yang pada mulanya tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi tetapi akhirnya menjadi usahawan yang berjaya dan disegani sehingga sekarang.
Aspek Perundingan juga turut disentuh dalam kursus ini terutama prinsip-prinsip yang biasa digunakan dalam membuat sebarang perundingan iaitu BATNA,WATNA, dan ZOPA.Peserta juga sempat diberi peluang untuk mengaplikasikan ilmu tersebut diakhir sesi ceramah melalui situasi-situasi tertentu seperti membuat jualan dan memohon pembiayaan.
Hari silih berganti namun bagai tidak terasa lamanya berada di Kursus tersebut kerana jadual yang padat dengan perbincangan dan penerangan mengenai bidang keusahawanan.Sesi ceramah diteruskan lagi mengenai penubuhan perniagaan yang merupakan permulaan penting sebelum melangkah jauh ke hadapan.Bentuk perniagaan seperti Milikan Tunggal,Perkongsian dan Syarikat dihuraikan dengan ringkas dan jelas beserta kelebihan dan keburukan setiap bentuk perniagaan yang dipilih.Namun penceramah lebih menekankan supaya bermula dari milikan tunggal@perkongsian berbanding syarikat sesuai dengan tahap kami yang baru hendak bermula.Pada ketika ini juga kami diajar bagaimana menyediakan Rancangan Perniagaan yang merupakan aspek penting dalam memulakan perniagaan.Rancangan Perniagaan yang mengandungi perancangan yang menyeluruh dari segenap aspek seperti pemasaran dan kewangan memberikan kami pemahaman yang jelas mengenai bidang perniagaan.
Kami juga dibekalkan dengan penerangan serba sedikit mengenai pembiayaan modal untuk Perindustrian kecil sederhana(PKS).Pembiayaan modal sering kali menjadi masalah utama untuk usahawan yang baru oleh itu pemilihan agensi yang sesuai perlu bagi mendapatkan pembiayaan kerana tidak semua agensi@institusi kewangan memberikan pembiayaan kepada semua jenis perniagaan.Oleh itu aspek pemilihan dan juga faktor yang dipertimbangkan oleh agensi@institusi sebelum memberikan pembiayaan dihuraikan oleh penceramah iaitu prinsip 5c (Capasity,Characteristic.Capital,Collateral,Condition).
Rancangan kewangan dan pemasaran juga turut dibincangkan bagi memberikan gambaran yang jelas sebelum memulakan perniagaan.Rancangan kewangan seperti aliran tunai,penyata untung rugi dan beberapa aspek kewangan lain dihuraikan secara ringkas tanpa melibatkan teori yang kompleks.Ini memudahkan peserta untuk memahami kepentingan rancangan kewangan ini yang merupakan salah satu bahagian penting dalam rancangan perniagaan.Rancangan Pemasaran juga merupakan aspek penting dalam perniagaan dimana konsep utama dalam pemasaran iaitu 4p (Price,product,place,promotion) dijelaskan.Strategi pemasaran amat penting dan tidak terhad kepada aspek promosi semata-mata yang kadangkala ramai yang tersalah anggap mengenai pemasaran hanya berbentuk promosi.Sebenarnya promosi hanya sebahagian daripada pemasaran kerana terdapat banyak aspek lain dalam pemasaran antara konsep 4p itu sendiri.
Kesemua aspek penting telah disentuh sepanjang menjalani kursus jadi bagaimanakah kejayaan kursus itu boleh diukur?Hasil ilmu yang diperoleh, peserta diminta membentuk kumpulan dan memilih perniagaan yang ingin dijalankan dan membuat Rancangan Perniagaan.Ini merupakan satu tugasan yang mencabar kepada peserta kerana peserta kursus terdiri daripada pelbagai bidang pengajian dan ini memerlukan peserta berkerjasama dalam menghasilkan Rancangan Perniagaan berdasarkan apa yang diperoleh sepanjang kursus.Kami juga diminta untuk membuat presentation mengenai perniagaan kami pada hari yang ditetapkan.
Pada hari pembentangan rancangan perniagaan dapat dilihat muncul idea-idea menarik seperti biskut daripada ikan haruan,yogurt dari susu kambing,burger tempe dan beberapa idea lain.Penilaian dilakukan oleh Penyelaras Program Keusahawanan dan juga wakil Jabatan Bendahari Universiti.
Kursus Asas Keusahawanan Siswa (KAKS) ini diharapkan menjadi titik tolak kepada mahasiswa untuk menceburi bidang Keusahawanan dan bidang ini menjadi pilihan utama dan bukan pilihan terakhir atau kerana terpaksa.Ini bagi menjadi suatu hari nanti wujud Generasi Usahawan yang menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi negara dan memberi impak yang besar kepada negara kelak.Insyaallah.
Inilah serba sedikit info yang dapat diberikan mengenai Kursus Asas Keusahawanan Siswa(KAKS) yang telah saya sertai.Diharapkan info ini berguna untuk semua yang inginkan maklumat mengenai bidang keusahawanan.
p/s:Artikel ini mungkin agak panjang berbanding post sebelum ini kerana banyak perkara yang ingin dikongsikan dengan anda.Ulasan buku terpilih akan diteruskan bermula awal Januari sebagai satu perkongsian untuk anda.Saya sedia menerima sebarang komen untuk kebaikan bersama.



