Review:Jutawan Dari Planet Jupiter
Sunday, January 17, 2010 22:36
“Kawal Kewangan Anda,Biar Wang Menghasilkan Pulangan dan Nikmatilah Hidup yang Lebih Bahagia”
Salam Usahawan,
Saya menyepi seketika untuk review buku-buku bercorak kewangan yang berada dalam koleksi saya pada penghujung tahun lepas.Kini tahun 2010 saya kembali dengan buku pertama di tahun ini iaitu Jutawan dari Planet Jupiter.Membaca judul buku ini pun sudah pasti membuatkan pembaca berfikir kaitannya planet Jupiter dengan isi kandungan buku ini.
Buku ini menekankan mengenai konsep pengurusan kewangan dengan cara yang mudah dan ringkas sesuai dengan situasi kita di Malaysia.Pengolahan buku ini membenarkan pembaca untuk melompat terus ke bahagian lain kerana setiap isu yang ditimbulkan di setiap bahagian tidak bercampur dengan bahagian lain yang lain.Bahagian pertama dalam buku ini lebih kepada motivasi dan saranan berkaitan sikap dan tindakan yang boleh membantu seseorang mengawal kewangan dengan baik.Nampak seperti mudah apa yang disarankan tetapi agak sukar dilakukan sekiranya ianya tidak dilakukan dengan komited.
Bahagian kedua buku ini menjurus pemahaman mengenai wang dan pengurusan kewangan yang dimulai dengan statistik yang membuatkan pembaca untuk teruskan pembacaan.Contoh statistik yang diambil itu sebenarnya lebih mencemaskan pada tahun selepas buku ini ditulis.Seterusnya pembaca didedahkan sebab-sebab pengurusan kewangan yang kucar-kacir,tabiat berbelanja dan pemahaman yang salah mengenai wang oleh sesetengah golongan.Perkara yang paling penting sekali ialah mengenai Penyata Kewangan iaitu Nilai Bersih dan Aliran Tunai.Kedua-dua penyata ini amat penting bagi melihat status kewangan anda kerana ia menentukan sejauh mana teruk@besar masalah kewangan anda.Saya rasa anda perlu mendapatkan maklumat ini secepat mungkin bagi mengenal pasti status kewangan anda sebelum bertambah parah.
Setelah memahami asas kewangan yang penting kini bahagian 3 menyusul pula yang boleh saya klasifikasikan strategi utama sebelum memulakan strategi yang lebih “advance”.Pada bahagian ini beberapa strategi asas disarankan dan ia benar-benar dapat membantu dan boleh terus diaplikasikan setelah selesai membaca bahagian ini.Ada sesuatu yang saya rasa amat penting dan harus pembaca berikan penekanan.Ini kerana sekiranya anda dapat melakukan apa yang disarankan dalam buku ini,saya berani beri jaminan anda tidak perlu terlalu risau sekiranya anda diberhentikan kerja..saya ulangi anda tidak perlu terlalu risau..jadi saranan saya dapatkan buku ini sama ada dengan meminjam@membeli supaya anda tahu mengapa saya katakan sedemikian.
Setelah strategi asas telah dikuasai,strategi yang lebih “advance” diperlukan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan kita.Apa yang terkandung dalam bahagian ini memberikan anda sedikit pemahaman mengenai pelaburan.Beberapa aspek berkaitan pelaburan dihuraikan oleh penulis secara ringkas dan mudah.Pelbagai bentuk pelaburan dijelaskan beserta faedah dan bagaimana memilih pelaburan yang sesuai dengan diri kita.Tidak semua pelaburan mendatangkan keuntungan kepada kita kerana yang paling penting ialah apakah matlamat sebenar pelaburan kita.Jadi bagi saya sudah cukup penjelasan yang diberikan dalam usaha membantu kita mengawal pengurusan kewangan.Sekiranya inginkan lebih maklumat kenalah berusaha lebih dengan membaca.
Akhir kata buku ini sesuai untuk semua yang ingin belajar dan mengawal pengurusan kewangan dengan baik.Sekiranya apa yang disarankan agak sukar dilakukan maka strategi-strategi lain yang lebih complicated tidak dapat membantu anda.
Profile Ringkas
Tajuk:Jutawan dari Planet Jupiter
Genre:Bisnes dan Pengurusan
Pengarang: Azizi Ali
Harga:RM39.90
Muka Surat:246
Cetakan Asal Edisi Pertama:2003
p/s:Saya tidak menulis beberapa isi penting dalam buku ini demi menjaga hak cipta pengarang.Oleh itu apa yang saya sampaikan hanyalah berdasarkan pembacaan saya sahaja.Mungkin buku ini sudah lama di pasaran tetapi bagi yang masih belum membaca @ ingin mengurus kewangan peribadi saya sarankan anda membaca buku ini.
